PROGRAM KPT PRIHATIN @ NEGERI SEMBILAN: ZIARAH KASIH PELAJAR BAHARU UiTM BERSAMA KOMUNITI KUALA PILAH

KUALA PILAH | 26 Julai 2026 _ Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Program KPT Prihatin @ Negeri Sembilan: Ziarah Kasih Pelajar Baharu, UiTM telah mengadakan sesi Ziarah Kasih ke kediaman pelajar di Taman Desa Melang Fasa 2, Kuala Pilah sebelum meneruskan program bersama komuniti di Dewan Muhibbah Rumah Pangsa Gentam, Kuala Pilah.
Majlis telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato' Haji Adnan bin Abu Hassan, Ahli Parlimen Kuala Pilah.
Turut hadir ialah YBrs. Profesor Dr. Yamin Yasin, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), UiTM; YBrs. Encik Hirman bin Awang @ Semail, Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi; YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Hajar Hasrol Jono, Pengarah Pusat Kesatria dan Kokurikulum UiTM; YBrs. Profesor Madya Ts. Dr. Noorlis Ahmad, Timbalan Rektor (Hal Ehwal Akademik) menjalankan fungsi Rektor UiTM Cawangan Negeri Sembilan; serta Dato' Hj. SM Sharifuddin SM Amin, Pengerusi KRT.
Pelbagai aktiviti kemasyarakatan telah dilaksanakan bagi mengukuhkan hubungan antara UiTM dan komuniti setempat, antaranya senamrobik, rewang, pertandingan mewarna, pemeriksaan kesihatan percuma, sesi perkongsian projek penanaman dan penghasilan cendawan tiram, pameran promosi program akademik UiTM, pameran Science, Technology, Engineering and Mathematics (STEM), pameran aktiviti Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab, serta penyerahan sumbangan wang tunai oleh UiTM Cawangan Negeri Sembilan kepada Tabung Surau An Nasimul Amin, Rumah Pangsa Gentam.
Program ini mencerminkan komitmen berterusan UiTM dalam memperkukuh jaringan kerjasama bersama komuniti serta menyantuni kebajikan pelajar melalui pendekatan pendidikan yang inklusif, prihatin dan berimpak.




