SOROTAN PROGRAM: BENGKEL PENULISAN BERITA KORPORAT & STRATEGI HEBAHAN MEDIA
SEREMBAN, 28 Julai 2026 – Unit Komunikasi Korporat, UiTM Cawangan Negeri Sembilan telah menganjurkan Bengkel Penulisan Berita Korporat & Strategi Hebahan Media bertemakan “Daripada Program ke Portal Berita” di Bilik Mesyuarat UiTM Kampus Seremban.
Bengkel tersebut telah dikendalikan oleh Puan Wan Admiza Wan Hassan, Pensyarah Kanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau. Program ini diadakan bagi memperkukuhkan kemahiran warga universiti dalam menghasilkan penulisan berita korporat yang berkualiti serta meningkatkan keberkesanan hebahan maklumat kepada masyarakat.
Sepanjang bengkel berlangsung, para peserta didedahkan dengan teknik penulisan berita korporat yang berkesan, kaedah mengenal pasti nilai berita, serta panduan menyediakan bahan penulisan yang sesuai untuk dihantar kepada pihak media. Selain itu, peserta turut diberi pendedahan mengenai format penyediaan e-mel kepada sidang pengarang sebagai salah satu strategi penting dalam memastikan hebahan program mendapat perhatian media.
Penganjuran bengkel ini juga bertujuan meningkatkan liputan media terhadap pelbagai program dan aktiviti yang dilaksanakan oleh UiTM Cawangan Negeri Sembilan, sekali gus membantu memperluaskan penyampaian maklumat universiti kepada khalayak umum.
Diharapkan ilmu dan kemahiran yang diperoleh menerusi bengkel ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para peserta dalam menghasilkan penulisan berita yang lebih berkualiti, berimpak dan memenuhi keperluan semasa media, seterusnya memperkukuhkan imej serta reputasi UiTM sebagai institusi pendidikan tinggi yang sentiasa aktif menyebarkan maklumat kepada masyarakat.




