MAJLIS KEMUNCAK HARI KEMERDEKAAN SEMARAKKAN JIWA PATRIOTIK WARGA UiTM KAMPUS KUALA PILAH
KUALA PILAH, 15 September 2026 – Majlis Kemuncak Hari Kemerdekaan bertemakan “Merdeka@School” berlangsung meriah di UiTM Kampus Kuala Pilah dengan penyertaan lebih 100 orang warga kampus.
Program anjuran Bahagian Pentadbiran dengan kerjasama Unit Komunikasi Korporat ini menjadi wadah dalam menyemarakkan semangat patriotisme serta memupuk penghayatan terhadap erti kemerdekaan dalam kalangan warga UiTM.
Pemilihan tema “Merdeka@School” bukan sekadar membawa imbauan terhadap zaman persekolahan, sebaliknya merupakan satu pernyataan falsafah yang mengingatkan tentang akar pembentukan jati diri, disiplin dan watak bangsa yang mula dipupuk melalui institusi persekolahan.
Majlis turut dimeriahkan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan yang telah dianjurkan sepanjang Bulan Kemerdekaan. Antara pertandingan yang dipertandingkan ialah Creative@Campus, Tak Kenal Maka Tak Cinta, Sudut Penghayatan Kemerdekaan, Staf Paling Sporting Mengikut Tema serta King & Queen Merdeka@Kampus.
Turut hadir ialah Prof. Madya Ts. Dr. Noorlis Ahmad, Menjalankan Fungsi Rektor/Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik (HEA) bersama warga UiTM Kampus Kuala Pilah.
Kemuncak sambutan ini bukan sahaja mencerminkan semangat cintakan negara, malah memperlihatkan semangat kebersamaan dan kreativiti warga kampus dalam menghayati Bulan Kemerdekaan.
— Unit Komunikasi Korporat
UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Kuala Pilah




