SEJARAH DAN LATAR BELAKANG

Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (Centre for Islamic Thought and Understanding – CITU) merupakan dua (2) jabatan yang digabungkan dibawah satu pentadbiran. Pada tahun 2004, Pusat Pendidikan Islam (PPI) telah distruktur baru menjadi Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam apabila ianya telah digabungkan dengan Pusat Nasihat Agama (PKNA).

 

HAL EHWAL ISLAM

Hal Ehwal Islam merupakan entiti asal Unit Agama yang ditubuhkan pada 3hb Mac 1971 diletakkan di bawah Bahagian Hal Ehwal Pelajar. Ia ditubuhkan dengan tujuan membantu para pelajar melengkapkan diri dengan pengetahuan asas agama, disamping menyelesaikan masalah agama yang sentiasa berbangkit di kalangan pelajar. Mulai Februari 1998 Unit Agama di beri nama baru iaitu Unit Kemajuan Islam yang diletakkan di bawah Pusat Khidmat Islam Bersepadu (PKIB) yang berpejabat di Pusat Islam UiTM. Peranan  dan fungsinya diperluaskan kepada khidmat penyebaran agama di kalangan staf di samping hakikinya untuk para pelajar.

Pada Januari 2001 ia dikembalikan semula ke fungsi asalnya di bawah Bahagian Hal Ehwal Pelajar maka mulai awal Januari 2003 ia diletakkan semula di bawah Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan nama Pusat Khidmat Nasihat Agama. Pada 13 Januari 2004 hingga Kini Ia digabungkan dengan Pusat Pendidikan Islam dan diletakkan dibawah naungan Centre for Islamic Thought and Understanding (CITU)  dan diberi nama baru sebagai Pejabat Hal Ehwal Islam (HEI). Kakitangannya terdiri daripada Pegawai – Pegawai Penasihat Agama, Imam dan Bilal.

 

PEJABAT HAL EHWAL AKADEMIK

Pendidikan Islam mula diperkenalkan di UiTM bermula pada tahun 1975 dibawah tanggungjawab Unit Pendidikan Islam (UPI). Pada tahun 1977 subjek Tamadun Islam menjadi subjek wajib bagi semua pelajar, oleh kerana permintaan yang meningkat di kalangan pelajar terhadap pengajaran pendidikan Islam pada tahun 1983.

Pendidikan Islam pula, mula ditawarkan secara formal kepada pelajar Institusi Teknologi MARA (ITM) pada tahun 1975 dengan nama Tamadun Islam. Hasil daripada Muzakarah Pendidikan Islam Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia pada 20hb hingga 22hb Jun 1977, TIM telah mewajibkan kursus Pendidikan Islam dengan nama ‘Mata Pelajaran Pendidikan Islam’ kepada semua pelajar Muslim di seluruh kampus ITM. Kursus ini dilaksanakan dua (2) jam kontak seminggu dalam tempoh enam (6) semester bersamaan dua belas (12) jam kredit. Pada Peringkat awal perlaksanaan, mata pelajaran tersebut dikendalikan oleh Unit Pendidikan Islam (UPI) di bawah Dekan Hal Ehwal Akademik. Seramai 28 tenaga pengajar yang berkelulusan aliran agama dari pelbagai institusi pengajian tinggi bertugas di unit ini.

UPI telah dinaikkan status menjadi satu entity dengan nama Pusat Pendidikan Islam (PPI) pada 01 April 1983 bersamaan 17hb Jamadil Akhir 1403. Tujuan penubuhan PPI ialah :

  • Merubah status UPI kepada ‘Pusat’ dengan identity yang tersendiri.
  • Meningkatkan keupayaan untuk memberi khidmat ilmiah yang lebih berkesan dalam melaksanakan program akademik UITM.

Bermula kemasukan julai 1983,, semua pelajar non-muslim dikehendaki mengambil kursus Tamadun Islam dengan tidak diwajibkan lulus peperiksaan. Pada kemasukan Julai 1985, semua pelajar non-muslim dikehendaki mengambil kursus Tamadun Islam dan mesti lulus peperiksaan serta diberi kredit. Mereka yang gagal dikehendaki mengulanginya sehingga lulus.

Perubahan status ITM ke UiTM turut memberi kesan kepada PPI. Kursus Pendidikan Islam peringkat diploma ditawarkan hanya selama TIGA (3) semester bersamaan dengan enam (6) jam kredit, bermula kemasukan Mei 2000. Walau bagaimanapun bagi program peringkat ijazah Sarjana Muda Kepujian, PPI telah dipertanggungjawabkan unutuk menawarkan kursus sejumlah empat (4) jam kredit bermula pada Nov 1998.

Pada 13 Januari 2004 bersamaan 20 Zulkaedah 1424H peranan PPI dikembangkan dengan penubuhan Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU). Cadangan penggabungan Pusat Pendidikan Islam dengan Pusat Khidmat Nasihat Agama telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif UiTM pada 19 Mac 2003. Matlamat penubuhannya adalah untuk menjadi pusat perpaduan ilmu, pemikiran, kefahaman dan perkhidmatan Islam dapat diperkukuhkan lagi selari dengan kehendak visi da misi UiTM.

Penstrukturan baru PPI dan PKNA dapat memperkasa dan memperkukuhkan program – program akademik dan non-akademik yang berorentasikan keislaman, selaras dengan hasrat universiti. CITU berperanan melahirkan graduan professional, berkemahiran, berpengetahuan dan berpandangan jauh serta mempunyai daya saing dan ketahanan yang tinggi bagi menghadapi dunia persaingan semasa.

 

FALSAFAH CITU

CITU berkeyakinan bahawa setiap insan memerlukan nilai – nilai murni sebagai unsur kesempurnaan melalui pendidikan bersepadu demi kecemerlangan hidup.

 

VISI CITU

Menjadi pusat kesepaduan ilmu, pemikiran dan kefahaman Islam yang tersohor demi pembangunan ummah.

 

MISI CITU

Misi CITU ialah :

  • Mempelbagaikan kursus professional dan separa professional yang berorentasikan Islam dengan kerjasama fakulti dan agensi berkaitan
  • Menggiat dan menyuburkan budaya keintelektualan melaui kegiatan akademik dan pelgabai aktiviti.
  • Mempertingkatkan kesarjanaan dan penyelidikan dengan mengadakan program-program akademik dan non-akademik yang berorentasikan Islam.

 

OBJEKTIF CITU

Bagi merealisasikan visi dan misi ini, CITU telah merangka beberapa objektif, iaitu :

  • Memperkukuhkan penyebaran ilmu dan pemikiran serta kefahaman Islam melalui program akademik dan bukan akademik yang berkualiti.
  • Menawarkan kursus dan memfokus kegiatan keilmuan dalam pelbagai disiplin di Universiti mengikut perspektif Islam.
  • Mempastikan kejayaan kesarjanaan dan penyelidikan bertaraf dunia dapat direalisasikan.
  • Menyelaras program pengembangan ilmu dan kefahaman Islam melalui perkongsian kepakaran, sumber dan prasarana antara organisasi salam dan luaran UiTM.
  • Menyusun semula struktur dan program khidmat professional kemasyarakatan seperti khidmat nasihat agama dan guaman syari’e.
  • Menggiat dan meninggikan budaya penyelidikan dan perundingan dalam bidang-bidang keislaman.
  • Mengaplikasi budaya ICT dalam pengajaran, pembelajaran dan khidmat professional kemasyarakatan.

 

PIAGAM PELANGGAN

DALAM RANGKA MELAKSANAKAN VISI DAN MISINYA, citu TELAH MERANGKA Piagam Pelanggan agar perkhidmatan yang diberikan dapat memenuhi kehendak pelanggan yang terdiri daripada pelajar, ibubapa, majikan, masyarakat setempat dan juga staf UiTM. Piagam Pelanggan CITU ialah :

 

Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), beriltizam untuk melaksanakan visi dan misinya sebagai sebuah pusat kesepaduan ilmu, pemikiran dan kefahaman Islam dengan memberikan perkhidmatan:

  1. PELAJAR :
  • menawarkan kursus berorientasikan Islam di semua fakulti setiap semester
  • memproses permohonan bantuan zakat di kalangan warga UiTM dalam masa dua (2) minggu selepas temuduga.

       2.  WARGA UiTM:

  • Membantu warga UiTM melaui khidmat bimbingan dan nasihat agama secara individu dan kelompok setiap semester.