Image

Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan merupakan institusi pengajian tinggi terawal ditubuhkan di Negeri Sembilan di mana ianya memainkan peranan penting dalam landskap pendidikan tinggi di Malaysia. Diilhamkan pada tahun 1970, inspirasi penubuhannya datang daripada Allahyarham Dato’ Mansor bin Othman, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan. UiTM Cawangan Negeri Sembilan bermula sebagai Institut Teknologi MARA (ITM) Negeri Sembilan di Kompleks Pertanian Melang pada tahun 1999 dengan menawarkan Program Pra Diploma Sains dan seterusnya berkembang dengan pertambahan 2 program diploma iaitu Diploma Sains, Diploma Komputer Sains dan 1 Program Pra Perdagangan. Kampus ini boleh menempatkan seramai 400 kapasiti pelajar dalam satu-satu masa dilengkapi dengan kolej-kolej kediaman pelajar, bangunan pentadbiran, bilik pensyarah, bilik kuliah, perpustakaan, makmal komputer, surau, kafeteria, padang dan gelangggang futsal.

 

Image

Dengan sokongan pemimpin negara, kampus sementara ini telah berpindah ke kampus tetap yang mempunyai infrastruktur yang lebih lengkap di Parit Tinggi, Beting, Kuala Pilah. Majlis pecah tanah bagi pembangunan kampus tetap UiTM Negeri Sembilan ini telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi pada 23 Ogos 2007 yang ketika itu Perdana Menteri ke-5. Pembangunan Kampus Kuala Pilah yang mengambil masa selama 3 tahun dilengkapi dengan 10 buah blok kolej kediaman yang boleh memuatkan sehingga 1886 orang pelajar, enam tingkat bangunan akademik, tiga tingkat bangunan pentadbiran, pusat islam, padang bola gelanggang bola jaring, ruang parkir yang luas dan beberapa fasiliti lain. Pada tanggal 25 Mac 2010, UiTM Negeri Sembilan, kampus Kuala Pilah telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Muhyiddin Haji Mohd Yassin.

Image

Pada tahun 2009 dengan tertubuhnya UiTM Kampus Beting Kuala Pilah di Mukim Parit Tinggi, pentadbiran kampus telah mula diketuai oleh barisan Rektor. Pada tahun 2014, Rektor bukan sahaja mentadbir Kampus Kuala Pilah, malah juga bertanggungjawab dalam pengurusan di Kampus Seremban dan Kampus Rembau dengan dibantu oleh pimpinan Penolong Rektor Kampus dan Jawatankuasa Eksekutif Negeri. Barisan Rektor ini terdiri daripada :

  • Profesor Madya Zaluddin bin Sulaiman (2009-2010)
  • Profesor Madya Dr. Tuan Daud @ Wan Ramlee Wan. A Kadir (2010-2015)
  • Professor Dato' Dr. Nasrudin Mohammed (2015-2019)
  • Profesor Dr. Yamin Yasin (2019 – 2025)
Image

UiTM Cawangan Negeri Sembilan bergerak maju dengan penubuhan 2 kampus lain lain iaitu UiTM Kampus Seremban dan UiTM Kampus Rembau sebagai usaha UiTM untuk memperluaskan capaian pendidikan tinggi kepada pelajar Bumiputera di Malaysia dan untuk memenuhi keperluan tenaga kerja terlatih di negara ini.

UiTM Kampus Seremban merupakan salah satu kampus utama di bawah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan. Terletak di Persiaran Seremban Tiga/1, Seremban 3, kampus ini telah menjadi pusat penting bagi pelbagai program akademik dan aktiviti penyelidikan. Kampus ini dibina di atas tanah seluas 38 ekar di kawasan pembangunan Seremban 3, dan telah menjadi pusat penting bagi pelbagai program akademik dan aktiviti penyelidikan di UiTM Cawangan Negeri Sembilan.

Image

UiTM Kampus Rembau dirasmikan pada 5 Januari 2017 setelah pembangunan kampus tersebut bermula pada Ogos 2013. Kampus ini terletak di Mukim Kundor, Daerah Rembau, Negeri Sembilan, dan dibina di atas tanah seluas 70 ekar. Perasmian kampus ini merupakan satu langkah penting dalam memperluas kemudahan pendidikan tinggi di kawasan tersebut. Kampus Rembau dilengkapi dengan pelbagai fasiliti moden untuk menyokong aktiviti akademik dan kokurikulum. Terdapat beberapa fakulti utama di kampus ini, termasuk Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Fakulti Pengurusan Maklumat, dan Fakulti Pengurusan Perniagaan. Selain itu, kampus ini juga menyediakan kemudahan penginapan untuk pelajar lelaki dan perempuan dengan kapasiti keseluruhan melebihi 1,500 pelajar.

 

Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Cawangan Negeri Sembilan

Kampus Kuala Pilah
Pekan Parit Tinggi
72000 Kuala Pilah
Negeri Sembilan
Malaysia

 


Website Inquiry:

Webmaster: korporat@uitm.edu.my

Tel: +606-4832100
Faks: +606-4842449